Kerajaan sasar 1.5 juta EV di M’sia menjelang 2040
Advertisements
Kerajaan meletakkan sasaran sejumlah 1.5 juta kenderaan elektrik (EV) bakal berada di Malaysia menjelang tahun 2040. Menurut Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, sasaran itu susulan berlaku gerakan ‘penghijrahan’ bagi infrastruktur EV di peringkat global, membabitkan pertukaran kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang menggunakan petrol kepada EV.
Tambahnya, sasaran baharu itu juga meningkat berbanding sasaran yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) sebelum ini, iaitu sejumlah 90,000 kenderaan EV pada 2040, laporan Bernama.
“Kerana kita merasakan dengan adanya tekanan daripada negara-negara maju untuk ‘berhijrah’ ke kenderaan elektrik, maka kita perlu lebih bersedia. Atas dasar itu, ia juga tergambar (berkait) dengan sasaran-sasaran tentang (pembinaan) stesen pengecasan, yang dibina oleh misalnya Gentari Sdn Bhd (Gentari), Tenaga Nasional dan juga pihak swasta seluruh negara dalam usaha membantu usaha eletrifikasi berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Nik Nazmi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) berkaitan pendekatan menyeluruh kerajaan bagi memastikan keberkesanan Strategi Rendah Karbon Jangka Panjang (LT-LEDS).